سْــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِيم

:::The best thing about me is you::::

:::: Nothing Special About Me.. Yang Baik Datang DaripadaNya..Yang Kurang Datang Dari kelemahan Diri Sendiri ::



Friday, August 6, 2010

::: Aku Terima Nikahnya :::

Saya tertarik dengan ungkapan beliau, ‘erti hidup pada memberi’. Lagi ungkapan ‘memberi’ yang menarik perhatian saya untuk mendalami erti dan tanggungjawab memberi ialah pesanan yang diberikan Pak Harfan dalam filem Laskar Pelangi iaitu ‘hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya’. Kedua-dua ungkapan tersebut sedikit menyedarkan saya bahawa hidup saya selama ini lebih banyak menerima daripada memberi.

Cuba kita melihat sahaja pada diri, kita dilahirkan tanpa seurat benang. Sejak mula kita singgah di dunia ni, bermula dengan kain yang menyelimutkan kita, begitu banyak lagi pakaian yang diberikan kepada kita untuk melindungi tubuh ini sebelum kita memakai apa yang ada pada badan kita pada saat ini. Itu soal pakaian. Lihat pula dari segi makanan. Berapa banyak jenis makanan yang dah kita cuba.

Berapa banyak suapan yang hinggap ke mulut dan masuk ke dalam perut dan masuk lagi untuk kita menjadi sebesar ini pada hari ini. Hari ini sahaja, dah berapa kali kita tarik nafas dan hembus dan tarik lagi? Jantung pula, masih diberi keizinan oleh Allah untuk berdegup lagi untuk mengepam darah yang diperlukan oleh seluruh anggota badan. Sejak dalam perut, tak henti-henti jantung kita buat kerja.

Sejak mula kita wujud di dunia, kita terlalu dimanjakan dan terlalu banyak menerima hingga kita ‘naik lemak’, bukan sahaja lemak dibadan. Terlalu dimanjakan sehingga kita mengharap lagi untuk menerima dan menerima dan menerima lagi. Manusia yang terlalu banyak menerima kadang-kadang terlupa untuk bersyukur dan juga terlupa bahawa mereka sebenarnya diberi untuk memberi.

“Setiap pemberian kepada kita adalah amanah untuk diberi kepada orang lain”
“Carilah sesuatu yang bermanfaat dalam kembara hidup kita untuk kita memberi manfaat kepada orang lain pula”

Kalau kita lihat dari segi ibadat. Solat yang popular dalam kalangan kita adalah solat wajib 5 waktu iaitu subuh, zohor, asar, maghrib dan isya’. Bila nak exam, solat yang popular adalah solat sunat hajat, bila nak pilih calon suami atau isteri, solat sunat istikharah,kalau ada kematian, solat sunat jenazah, bila bulan ramadhan, solat terawih pula yang popular. Ada banyak jenis solat sunat tapi pernahkah kita terfikir, kenapa solat sunat lain seperti rawatib, tahiyatul masjid, dhuha, tahajjud, tasbih, gerhana dan banyak lagi tidak selalu diamalkan oleh kita? Sebabnya mudah sahaja, kita ni bersolat untuk meminta.

Kita tahu Allah adalah punca rezeki, kita tahu Allah tempat kita untuk meminta sebab itu lah kita akan ‘rajin’ sekali-sekala untuk meminta. Cuba kita hitung balik dan nisbahkan, berapa kali dalam hidup kita ni kita bersolat untuk meminta sesuatu daripada Allah dan berapa kali kita berusaha untuk memberi keikhlasan solat kepada Allah. Kita selalu berhajatkan apa yang dimiliki oleh Allah, tapi pernahkah kita berhajatkan untuk memberi apa yang dimiliki oleh kita kepada Allah?

Kita merantau untuk menambahkan ilmu pengetahuan, pengalaman, dan kemahiran tapi semuanya untuk kita. Biasanya selepas kita memiliki apa yang kita hajatkan, kita akan berpuas hati. Kadang-kadang kita tak akan berpuas hati selagi tidak mengatasi apa yang dimiliki oleh orang lain. Pernahkah kita berada dalam keadaan tidak selesa selagi tidak menumpahkan apa yang kita dapat kepada orang lain. Kawan, ada sebab Allah memberi sesuatu kepada kita. Sebab Allah tahu apa yang boleh dimanfaatkan oleh kita kepada orang lain. Dia berikan kemewahan harta untuk diinfakkan, Dia beri makanan lebih untuk kita sedekahkan, Dia berikan pengalaman yang banyak untuk dikongsikan, Dia berikan kemahiran untuk diajarkan dan Dia beri kita tahu dan mudah faham untuk kita memberi panduan kepada orang lain. Tiada pemberiannya hanya total untuk kita.

”Sungguh, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan dan petunjuk, setelah Kami jelaskan kepada manusia dalam Kitab(Al-Quran), mereka itulah yang dilaknat oleh Allah dan dilaknat (pula) oleh mereka yang melaknat, kecuali mereka yang bertaubat, mengadakan perbaikan dan menjelaskan(nya), mereka itulah yang Aku terima taubatnya dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, Maha Penyayang” (al-Baqarah-159-160)

Saya ingin kongsikan kata-kata Ustaz Hasrizal tentang ‘memberi’ dalam buku tulisan beliau ‘Aku Terima Nikahnya’ di bawah tajuk Mukadimah iaitu,

Melihat perkahwinan sebagai medan untuk menerima, menjadikan kita sering gelisah dan hidup meminta-minta.
Melihat perkahwinan sebagai medan untuk memberi, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan.

Boleh kita aplikasikan dalam kehidupan kita iaitu,
‘Melihat kehidupan dunia sebagai medan untuk menerima, menjadikan kita sering gelisah dan hidup meminta-minta.’
‘Melihat kehidupan dunia sebagai medan untuk memberi, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan.’

Sedarlah bahawa hidup kita terlalu banyak menerima sejak kita roh kita disatukan dengan jasad yang dipinjamkan ini. Fikirkanlah pula bagaimana untuk kita memberi, sebelum roh yang bersatu dengan jasad ini dipisahkan pada waktu yang telah ditentukan nanti. Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment